Islam Penyelamat Negara & Rakyat : 2

ISLAM ADALAH RAHMAT SEKELIAN ALAM

1. Islam adalah wahyu dari Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang . Bukan hanya manusia tetapi seluruh makhluk mengambil manafaat dari risalahnya .

2. Manusia selaku mukallaf [ yang menggalas taklif syara' ] tentu sahaja merupakan makhluk yang menerima secara langsung segala amanah perutusan syariatnya .

3. Selaku khalifah Allah di atas muka bumi , manusia dipandu seadilnya untuk mengurus dan mengatur kehidupan mereka agar berjaya dan sejahtera . Panduannya al Quran dan pemandunya Rasul saw.

4. Negara kita hari ini jelas sedang bergerak menuju kehancuran dan kebinasaan apabila Al Quran dan as Sunnah tidak diterima pakai sebagai dasar dan pedoman untuk membina tamaddun dan peradaban . Kebanjiran maksiat dan mungkar malah peningkatan indeks jenayah , rasuah , penyelewengan amanah , penyalahgunaan kuasa serta pencemaran sosial yang semakin parah sebagai petanda utama negara kian binasa .

5. Ringkasnya , pelaku segala macam mungkar dan aneka maksiat jua jenayah ini adalah mereka yang tidak tahu membezakan syurga neraka dan dosa pahala . Kedudukan mereka sangat terpisah dari cahaya al Quran dan didikan sunnah . Sedang al Quran dan as Sunnah sahajalah satu - satunya formula yang mampu membebaskan dari perangkap yang menjerumuskan mereka ke lembah yang hina .

6. Malang masih ramai yang sangsi dan keliru tentang Islam , bahkan sebahagian ummat Islam mengalami kekeliruan tersebut . Apakah Islam ini hanya agama sekadar mengucap dua kalimah syahadah , solat , puasa , zakat dan haji semata - mata ? atau Islam sebagai sebuah cara hidup yang mesti diambil segala prinsip dan syariatnya .

7. Sebahagian ummat Islam pula turut terpengaruh dengan propaganda musuh yang mengaitkan Islam dengan aktiviti terrorist dan ganas . Lantas Islam dan para pejuangnya digelar militan, wahhabi , pengganas dan sebagainya , walhal Islam adalah agama yang benar dan tepat . Sesuai dan wajar dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa membezakan warna kulit dan bahasa lidah mereka .

8. Justeru itu , langkah pertama bagi semua pihak ialah merujuk apa jua perkara berkait dengan Islam kepada mereka yang benar - benar mendalami agama Islam dan ikhlas berjuang untuk agama Islam . Jika Islam dirujuk kepada golongan Islam Liberal , Islam Hadhari , Orientalis dan seumpamanya , akan ditemui satu kekeliruan yang membingungkan mengenai Islam terutama bagi mereka tidak memiliki basic agama Islam yang baik .

9. Melihat keindahan Islam dan kehebatannya dalam menangani persoalan hubungan manusia dengan tuhan jua manusia dengan manusia ialah apabila diambil sumber yang jelas dan tulen iaitu al quran dan sunnah . Malang sekali jika Islam diambil persepsi dan perspektif mengenainya dari surat khabar jalanan . Terhasillah sebuah kecelaruan dan kekeliruan yang sukar dibetulkan kembali .

10. Islam bukan teori , fantasi dan ilusi sebaliknya Islam adalah Manhaj hidup yang praktis dan realistik untuk diamal di semua tempat dan masa jua untuk semua bangsa dan bahasa . Islam adalah cara hidup yang universal . Merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia dan menyusun kehidupan manusia dengan wahyu Allah Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijak . Tidak pernah diketemui satu pun peraturan dan undang - undang Islam yang zalim , kejam dan menindas dan menginaya sebaliknya ia adalah setimpal dengan jenayah yang dilakukan oleh manusia yang zalim dan kejam .

Islam Penyelamat Negara & Rakyat : 1

Muqaddimah :

Islam :
Formula yang dicari

1. Negara semakin rumit dan rencam untuk ditadbir dan rakyat kian sukar dan sulit untuk diurus tatkala berdepan dengan cabaran baru yang nyata komplek dan kusut .

2. Politik bergolak , ekonomi menjunam dan sosial membarah antara realiti konflik yang terpaksa didepani oleh negara dan rakyat dewasa ini .

3. Hari ini para politikus , pakar ekonomi dan aktivis sosial antara manusia paling sibuk di atas muka bumi . Mereka berfikir , bekerja dan merumus bagi menghasilkan formula pemuliharaan negara dan rakyat yang kini terancam ketenangan dan kesejahteraan hidup mereka lantaran konflik yang dihadapi . Tidak sedikit , masa , tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan untuk tujuan tersebut . Malangnya , sehingga kini semua kaedah dan teori yang dipakai seperti gagal menghasilkan formula berkesan bagi mengatasi kemelut ummah .

4. Saya melihat kegagalan itu berpunca dari sikap degil dan babil sebahagian manusia untuk kembali berpaut pada asas dan sumber tulen dari ajaran wahyu yang merumus formula langit untuk sebuah penyelesaian abadi . Terpengaruh dengan elemen dalaman jiwa sebahagian insan yang ego dan angkuh lalu menolak mentah pelan penyelesaian yang digaris oleh al quran dan sunnah .

5. Sedang Islam adalah agama yang diutus oleh Allah swt sebagai Minhaajul Hayah [ cara hidup ] atau way of life . Ianya menepati sebuah manual yang didokumenkan sebagai satu deklarasi hidup untuk memimpin serta membimbing ummat manusia membina tamaddun dan peradaban mereka . Justeru Islam diutus oleh Tuhan yang mencipta manusia dan segala pra sarana yang menjadi keperluan manusia untuk hidup [ maka Ia lah Tuhan yang berauthoriti untuk menentu arah tuju dan peraturan hidup manusia yang diciptanya ] .

6. Umumnya manusia memerlukan kehidupan . Biarpun kematian terus meningkatkan statistik angkanya [ lantaran turut menjadi mangsa konflik serta krisis kehidupan ] , yang masih hidup dan bakal lahir memerlukan kehidupan dan merencana untuk hidup . Manusia akan bertarung , bersabung dan berjuang dengan segala sisa keupayaan yang ada pada mereka untuk sebuah kehidupan . Jelasnya kehidupan adalah sebuah perjuangan jua, tidak mungkin manusia hidup tanpanya .

7. Namun begitu , erti hidup hanyalah pada kesejahteraan dan kebahagiaan , ketenangan dan kedamaian , kegembiraan dan kejayaan . Tiada erti bagi hidup yang diselubungi penderitaan dan kesengsaraan , kesedihan dan kekecewaan , kegagalan dan kemusnahan . Sungguhpun mereka hidup , tetapi hidup yang tiada makna dan tidak bererti . Terdapat jua insan yang enggan memaknai atau menghargai kehidupan mereka lalu menjerumuskan diri mereka ke lembah binasa .

8. Islam diutus sebagai pedoman untuk memberi makna , erti dan nilai pada kehidupan yang dianugerah ini . Islam dikirim sebagai petunjuk untuk mewarnai kehidupan dan memberi cahaya yang membebaskan manusia dari perangkap kegelapan . Islam adalah cara hidup yang sesuai di semua tempat dan masa serta keadaan dan zaman .

9. Ketika berhadapan dengan An Najasyi [ Raja Habsyah ] , Jaafar bin Abi Talib sewaktu berhujjah bagi memberikan penjelasan mengenai Islam yang diragui kebenaran dan peranannya oleh Najasyi dan pembesarnya telah berkata : [ bagi memberi gambaran jelas tentang Islam dan peranannya ]

Wahai Raja , Kami dulunya adalah orang - orang jahiliyyah . Kami menyembah berhala , kami memakan bangkai , kami berzina , kami memutuskan silaturrahim , kami menyakiti jiran , yang kuat dikalangan kami menindas yang lemah , begitulah keadaan kami sehingga Allah swt mengutuskan kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami . Kami kenal keturunannya , kebenaran risalahnya , kejujuran dan ketinggian budi pekertinya .

Ia telah mengajak kami kembali kepada Allah swt supaya kami mentauhidkan dan mengabdikan diri kepadanya [ tidak menyekutukannya ] , memisahkan kami dari apa yang kami dan datuk nenek moyang kami sembah sebelum ini yang terdiri dari batu dan berhala .

Ia menyuruh kami supaya bercakap benar , menunai amanah , menghubung silaturrahim , berbuat baik terhadap jiran tetangga , berhenti dari melakukan jenayah dan menumpah darah serta melarang kami dari melakukan zina , bercakap kotor , makan harta anak yatim dan melempar tuduhan / fitnah kepada wanita yang baik .

Ia menyuruh kami mengabdikan diri kepada Allah swt Tuhan yang Maha Esa tanpa menyengutukannya dengan sesuatu pun . Ia menyuruh kami mendirikan sembahyang , membayar zakat dan berpuasa [ Jaafar menyebut beberapa perkara yang terkandung di dalam rukun Islam ] , maka kami membenarkannya dan kami beriman kepadanya . Kami melaksanakan apa yang dibawanya daripada Allah swt . ................

10. Islam bukan sebagaimana yang digambarkan oleh Amerika dan golongan orientalis . Ekstrim dan terrorist , melampau dan mencetuskan huru hara . Sempit dan prejudis , ketinggalan zaman dan anti pembangunan . Ini semua adalah fitnah dan momokan yang tidak berasas pula berniat jahat terhadap Islam . Ini juga adalah perang saraf pihak musuh yang terus menyimpan dendam kesumat dan hasad dengki terhadap Islam .

bersambung ........

Negara dalam Bahaya

Negara dalam Bahaya
Implikasi Amalan Rasuah

1. Rakyat sekali lagi dikejutkan oleh satu pendedahan yang memalukan negara apabila Menteri Pertahanan Dato' Zahid Hamidi memberitahu bahawa enjin jet pejuang F-5E bernilai RM 50 juta hilang dan beberapa barangan lain turut lesap .

2. Tidak adalah tempat yang paling selamat di dalam negara kita melainkan kawasan dibawah kawalan Kementerian Pertahanan . Malangnya kementerian ini juga gagal mempertahankan enjin jet pejuangnya , maka apa lagi sandaran keselamatan negara dan rakyat di dalam negara ini ?

3. Memalukan ! inilah sahaja kalimah yang boleh saya lafazkan sewaktu pertama kali ditanya mengenai kehilangan enjin jet pejuang negara pada tahun 2007 yang kini hangat diperkatakan . Sungguh ini memalukan negara justeru menunjukkan sistem kawalan keselamatan negara terlalu rapuh . Apa lah yang boleh diharapkan pada pertahanan negara dan para pejuangnya untuk melindungi keselamatan negara dan rakyat jika enjin jet pejuang mereka boleh hilang dan lesap .

4. Tahun 2007 ini juga mengingatkan saya bagaimana kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat ahli politik kanan menerima rasuah RM 5 juta untuk membebaskan penjenayah yang sangat dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah seperti pelacuran , gengster , ah long dan lain - lain .


5. Persidangan Dewan Negara pernah diberitahu [ pada tahun 2007 ] terdapat tiga kumpulan gengster utama yang telah dikenal pasti wujud di negara ini sejak 2005 dengan jumlah anggota mencecah 17,000 orang. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata kumpulan gengster Ang Bin Hoey mempunyai 122 kumpulan dengan 11,764 anggota, kumpulan Wah Kee mengetuai 40 kumpulan dengan 1,991 anggota manakala Thug Gang mempunyai 123 kumpulan dengan 3,497 anggota.

6. Pada 12 ogos 2007 melalui ruangan tetap Tun Hanif Omar [ bekas ketua polis negara ] mendedahkan di akhbar The Star bahawa terdapat 40% daripada anggota polis terlibat dengan rasuah .

7. Sementara pada 14 February 2004 , Datuk Seri Rais Yatim juga pernah mendedahkan bagaimana 18 kes rasuah yang melibatkan high profile sedang diperingkat akhir siasatan tetapi malang sehingga kini tidak lagi kedengaran sebarang tindakan diambil .

8. Ahli Parlimen Kapar
S Manikavasagam pernah seketika dulu membuat laporan kepada BPR [ kini SPRM ] apabila laman web seorang yang dituduh penjenayah, Michael Soosai yang seketika dulu dipercayai bersembunyi di India , mendedahkan kegiatan sembilan anggota polis yang terlibat secara langsung dengan rasuah.

9. Baru - baru ni kita dikejutkan dengan berita bumbung stadium Sultan Mizan runtuh di Terengganu , kemudian jambatan gantung di Dipang juga runtuh dan mengakibat hilang nyawa beberapa orang pelajar sekolah yang menggunakan jambatan tersebut . Terbaru hentian bas di Kuala Berang juga dilaporkan runtuh . Saya percaya semuanya ini adalah bermula dan berpunca dari amalan rasuah yang membarah .

10. Indeks rasuah negara di peringkat antarabangsa kini di angka 52 . Angka yang sangat memalukan dan jauh ketinggalan dari negara jiran kita Singapore . Lebih malang , tiada usaha yang serius dan berkesan dari kerajaan UMNO dan BN untuk menangani isu rasuah ini malah mereka kelihatan selesa dengan wabak rasuah yang kian menular ini . Akibatnya , keselamatan negara dan rakyat kini terancam dan berada di dalam keadaan bahaya .

Apakah Ada Sinar di Pagi Esok ?

1. Hari ini entah kali yang ke berapa saya terpaksa memanjat tangga mahkamah bersama Ustazah Nuridah Salleh [ Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ] Dr. Lo' Lo' Dato' Ghazali [ AJK PAS Pusat ] , Dr. Hatta Ramli [ Bendahari PAS Pusat ] dan beberapa sahabat yang lain , bagi menghadapi pembicaraan yang sungguh panjang dan lama .

2. Kami ditangkap sejak beberapa tahun yang lalu di simpang jalan masuk ke parlimen sewaktu dalam perjalanan menghantar memorundum kepada speaker dewan untuk membantah tindakan kerajaan melanjutkan usia persaraan pengarah SPR pada waktu itu .

3. Saya tidak tahu pemerintahan jenis apakah negara ini ? beberapa hari lepas sahabat saya dari Angkatan Muda Keadilan [ AMK ] , sdr Jonah dan Azizi ditahan dan direman kerana mengedarkan risalah bagi mendesak agar kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Syariah sekaligus membantah campurtangan politik dalam kes Datuk Seri Anwar yang sedang bicarakan sekarang .

4. Sebelum ini , beribu kes tangkapan dibuat oleh polis ke atas anggota PAS , PKR dan DAP atas kesalahan menghadhiri himpunan aman , mengedar risalah , ceramah umum dan kuliah agama . Kononnya mereka menyertai himpunan haram , menghasut rakyat agar membenci kerajaan dan sebagainya .

5. Persoalannya , bukankah negara ini negara demokrasi ? dan bukankah kerajaan UMNO & BN adalah penganut faham demokrasi ? sementara demokrasi itu memberi hak berhimpun dan hak rakyat bersuara .

6. ..... atau benar negara ini adalah negara demokrasi berautokrasi ? demokrasi untuk mereka dan autokrasi untuk rakyat ! Inilah antara siri kezaliman kerajaan UMNO dan BN yang memungkinkan rakyat bangkit menentang malah bertekad untuk menjatuhkan mereka di dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang setelah rakyat hampir berjaya melakukannya melalui pilihanraya umum ke 12 yang lalu .

7. Saya tidak kesal kerana ditangkap . Saya juga tidak kesal digari dan dipenjara justeru itu adalah sunnah orang yang berjuang . Sebaliknya apa yang saya kesal bagaimana UMNO dan BN yang beri mandat oleh rakyat untuk memimpin dan mentadbir negara , tergamak membantai rakyat mereka sendiri semata - mata kerana rakyat tidak bersetuju dengan mereka dalam beberapa perkara penting yang sebenarnya melibatkan kepentingan negara dan rakyat .

8. Rakyat tidak bersetuju dengan ISA kerana ia zalim menahan tanpa bicara , rakyat tidak bersetuju dengan rasuah kerana merosakkan pembangunan material dan meruntuhkan tamaddun kemanusiaan , rakyat tidak bersetuju bahasa kebangsaan digadai oleh mereka sehingga menghilangkan nilai bangsa , rakyat tidak bersetuju SPR , SPRM dan Polis menjadi "parti" kompenan UMNO dan BN .

9. Rakyat tidak bersetuju wang negara dibazirkan dengan mengadakan projek mewah yang tidak mengalirkan keuntungan kepada masyarakat marhain , rakyat tidak bersetuju harta kekayaan negara dibolot oleh beberapa kerat pemimpin sementara rakyat terus dilanda dan dihimpit kemiskinan , rakyat tidak bersetuju UMNO dan BN menyekat wang royalti minyak petroleum kepada Terengganu dan Kelantan yang kini ditukar menjadi wang ehsan .

10. Hanya kerana saya sebahagian dari rakyat yang tidak bersetuju dalam perkara - perkara tersebut , maka saya dan rakan - rakan terpaksa ditahan dan ditangkap . Kami bukan perompak , penyamun dan perogol . Kami rakyat biasa yang hanya tidak bersetuju dengan tindakan dan dasar kerajaan yang zalim dan menginaya .

11. Tidak mengapalah ! , kini kezaliman kerajaan UMNO dan BN yang telah bertindak kasar dan keras ke atas rakyat [ yang pada mulanya hanya tidak bersetuju dalam beberapa perkara ], telah melahirkan gelombang kebangkitan rakyat yang tidak bersetuju dengan batang tubuh kerajaan UMNO dan BN itu sendiri .

12. Akhirnya rakyat telah memberikan harapan mereka kepada PAKATAN Rakyat yang kini kian bersinar memancarkan cahaya masa depan baru buat rakyat yang mendambakan keadilan , ketelusan dan kesaksamaan .

Memeterai Persepakatan

PAKATAN RAKYAT
KE GERBANG JAYA

1. Konvensyen Pakatan Rakyat yang berakhir petang kelmarin telah memahat sejarah negara yang menyaksikan sebuah dokumen persepakatan gandingan 3 buah parti [ PAS , PKR dan DAP ] telah dimeterai secara rasmi oleh pemimpin tertingginya.

2. Persepakatan berdokumen ini menepati sebuah janji rasmi yang diikrarkan untuk melangsungkan sebuah perjuangan mewakili rakyat berbilang kaum dan berbeda agama ke arah sebuah negara baru yang adil , telus , saksama , toleransi dan berkebajikan .

3. Jika saya analogikan dengan sebuah ikatan perkahwinan di dalam Islam , sebaik sahaja ijab qabul dilafazkan antara pasangan yang berkahwin maka menangis dan bertempiaran lari lah segala syaithan dan iblis dengan penuh kekecewaan setelah gagal memutuskan hubungan mereka serta gagal pula mendorong mereka melakukan zina .

4. Maka ijab qabul dalam tahaaluf siasi [ kerjasama politik ] PAKATAN Rakyat yang telah ditandatangani ini juga membuatkan syaithan - syaithan politik meraung kepedihan dan kekecewaan kerana gagal memecah belahkan kesatuan mereka .

5. Persefahaman semakin matang dan kerjasama semakin erat . Itulah yang boleh saya ungkapkan setelah Konvensyen Pakatan Rakyat yang julung kalinya diadakan , berlangsung dengan jayanya . Kehadhiran seluruh pimpinan utama dari ketiga - tiga parti dan duduk sebaris , turut menjawab segala tuduhan dan tanggapan yang sering dieksploit oleh media kononnya mereka selama ini hanya asyik bercakaran .

6. Selepas ini , menjadi tanggungjawab kepada setiap anggota dari ketiga - tiga parti berperanan untuk memahamkan rakyat berbekalkan satu dokumen oren yang telah ditandatangani bersama oleh ketiga - tiga pemimpin tertinggi parti . Mekanisme penyampaian maklumat mestilah berkesan dan pintar .

7. Sementara itu , anggota parti pula mesti bijak dalam mengurus maklumat yang mereka terima samaada melalui lisan , media elektronik , media cetak dan juga media baru . Kebijaksanaan anggota dalam perkara ini sangat dhoruri [ prinsipal ] agar tidak mengheret mereka ke kancah polemik dan krisis ciptaan sesama kita .

8. UMNO dan BN tentunya cemburu menyaksikan situasi ini setelah mereka terus tenggelam timbul dalam krisis yang tidak tahu dimana dan bagaimana mahu mnegurainya . Parti - parti kompenan mereka saling salah menyalahkan antara satu sama lain .

9. Kini masa berjalan malah pantas bergerak menuju era baru . Harapnya tiada yang masih tidur lena atau asyik khayal dengan gurindam lama sedang semua orang sedang berpaut pada harapan dan tekad baru untuk membina sebuah kemenangan dan kejayaan .

10. Namun kemenangan dan kejayaan pastinya bernilai tinggi dan berharga mahal . Menebusnya memerlukan wang dan kekayaan yang setimpal . Kalau sekadar mengemis di tepian penambang usah memahat cita - cita besar , kerna ia hanya menyenakkan jiwa dan menyakitkan hati . Insyaallah , tunggu pula selepas ini Konvensyen Pemuda Pakatan Rakyat memeterai sejarah .

Melahirkan Sang Murabbi


Murabbi :

Arkitek Generasi Pelapis Murabitun

Pendahuluan

Tarbiah dan Murabbi dua perkataan yang tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Ø Oleh kerana PAS mengutamakan tarbiah, maka murabbi adalah satu komponen yang terlalu penting dalam PAS.


Ø Pelapis murabitun mesti dibentuk dan disediakan setiap masa bagi memastikan kesinambungan kegemilangan PAS


Ø Oleh itu murabbi yang berkualiti perlu ada dan berfungsi dalam membina pelapis murabitun.


Ø Konsep murabbi telah lama wujud dalam Islam, sejak zaman Rasulullah hingga kini dalam setiap gerakan Islam.


Ø Imam Al-Haddad : “jadilah kamu dengan syaikh murabbi kamu bagai seorang mayat di tangan tukang mandinya, jika diangkat tangan maka terangkatlah tangan, diturunkan maka terturunlah”


1. Sifat Murabbi


· Ibn Mubarak : “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu” (Peri penting pemilihan murabbi)


· Sifat peribadi seorang murabbi (bertaqwa, wara’, menjaga adab dgn Allah, hati yang bersih, berilmu tinggi, sabar, penyayang, berhemah tinggi, kuat berdakwah, berhikmah dll)


· Murabbi perlulah seorang yang berilmu agama yang mantap agar apa yang ditarbiah sesuai dengan dasar perjuangan Islam sebenar. Oleh itu, para ulama dalam PAS sangat bertanggungjawab sebagai para murabbi.


· Sifat murabbi dalam jamaah (adab berjamaah, hubungan yang baik dengan pimpinan, tsabat, rajin, cekap berorganisasi, sifat2 jundullah dlm surah al-maidah, lengkap rukun bai’ah 10, dll)


· Sifat murabbi dengan generasi pelapis (guru, pendidik, bapa, abang, pemimpin, model contoh, kaunselor)


· Kitab-kitab tarbiah seorang murabbi seperti Tarbiyatuna Arruhiyyah (Sa’id Hawa) mesti dihadamkan


2. Pra-syarat Murabitun


· Bekerja dengan jamaah bukanlah sesuatu yang mudah. Maka persediaan rapi perlu ada. Murabitun adalah tulang belakang jamaah, maka golongan ini terlalu penting.untuk dipersiapkan.


· Bakal murabitun perlu dipersiapkan dengan beberapa sifat iaitu: berilmu, faham tuntutan jamaah, bersih jiwa, cekap berorganisasi, tabah, tsabat, berhemah, berhikmah dll.


· Pra syarat untuk menjadi murabitun begitu tentu sekali adalah ditarbiah dengan teliti dan sentiasa bersedia untuk ditarbiah.


· Para ulama agung silam yang mewaqafkan diri mereka untuk perjuangan Islam semuanya telah ditarbiah secukupnya oleh para murabbi mereka sebelum muncul sebagai sebutir permata perjuangan.


3. Tarbiah rukun asasi


Ø Tarbiah adalah modal utama jamaah Islam. Tanpa tarbiah rosak perjuangan


Ø Tarbiah yang lengkap memerlukan bukan sahaja modul dan silibus, tapi aspek utamanya adalah pentarbiah itu sendiri (murabbi).


Ø Allah memerintahkan agar kita bertanya kepada Ahluzzikr, dan bukan hanya setakat mengkaji, membaca dan berfikir.


Ø Maka jamaah Islam perlu melakarkan pelan membentuk murabbi, menyebarkan mereka, dan menyediakan prasarana diperlukan selengkapnya untuk tugasan tarbiah di mana jua.


Ø Antara yang perlu disediakan untuk murabbi adalah:


Ø Lokasi

Ø Kewangan

Ø Soft skill

Ø Kerjaya

Ø Bahan bantu


4. Murabbi pelakar pelan generasi akan datang


Ø Tanggungjawab murabbi membentuk generasi murabitun akan datang


Ø Sebagai arkitek, murabbi perlu melakar bagaimana membangunkan generasi murabitun yang kukuh, faham dan memainkan peranan dengan baik.


Ø Tanpa murabbi, murabitun yang lahir akan cacat tarbiah, sekaligus mencacatkan pemerkasaan jamaah.


Ø Hasilan tarbiah seorang murabbi yang mantap akan melahirkan murabitun yang kukuh


Ø Kajian mendapati kecelaruan fikrah di kalangan sebahagian anggota PAS adalah kerana kekurangan murabbi yang jitu di sesetengah tempat


Ø Murrabi perlu sentiasa meyematkan di dada kalam Imam Hasan Al-Banna “realiti hari ini adalah impian semalam, dan impian hari ini adalah realiti esok hari”


5. Murabbi penyelia binaan akan datang


o Selain melakar pelan, murabbi juga perlu sentiasa menyelia pembinaan generasi murabitun agar tiada yang futur atau lari dari trek perjuangan.


o Murabbi tidak boleh berlepas tangan dari hasilan air tangan tarbiahnya.


o Murabitun perlu sentiasa berhubungan dengan murabbi agar terus memahami perjuangan dan tsabat di atasnya.


o Penyusunan murabitun yang telah siap ditarbiah di setiap tempat akan memudahkan gerak kerja jamaah.


o Syaikh Sa’id Hawa : 3 sifat faktor kegagalan murabitun : Malas, takut, kedekut. Murabbi perlu memastikan sentiasa 3 sifat ini tiada pada murabitun sentiasa.


6. Penutup - Murabbi cemerlang, murabitun cemerlang


o Keberkesanan tarbiah PAS bergantung pada kecemerlangan murabbinya. Maka penekanan pada para murabbi sangat perlu.


o Murabbi yang cemerlang akan merangka pula pelan, bertindak, dan kemudian menyelia generasi-generasi murabitun.


o Generasi murabitun akan datang juga cemerlang apabila ditarbiah dengan lengkap oleh murabbi yang cemerlang.

Katakanlah inilah jalanku, aku berdakwah kepada Allah atas basirah, jalanku dan jalan sesiapa yang mengikutiku…

USUS UMNO Sudah Busuk . Siri 5

Tanpa BTN
UMNO Berkubur
1. Pada 1 Disember 2009 yang lalu, akhbar China Press telah melaporkan bahawa bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada BTN terlalu tinggi iaitu sebanyak 74 juta untuk tahun 2009.

2. Peruntukan ini adalah lebih tinggi daripada bajet untuk Parlimen iaitu sebanyak RM4 juta. Perkara yang didedahkan oleh ahli parlimen DAP dari Bukit Bendera harus disiasat dengan teliti dan pengaliran sejumlah wang ini mesti ini dipastikan seiring dengan keperluan dan perbelanjaan BTN tersebut.
3. Bekas Pengarah BTN Terengganu, Rosli Abdullah ada menyatakan “Sekarang ni khususnya selepas tahun 1998, kursus berkenaan bukan sahaja tidak ditekankan soal pendidikan Islam, sebaliknya lebih menjurus pada propaganda Umno, perkauman dan memburukkan ulama’ khususnya dalam PAS,”. http://www.youtube.com/watch?v=xVMljJGFitM&feature=player_embedded.

4.
Malaysia kini menunjukkan pendedahan bekas mahasiswa berkenaan doktrin kotor BTN.
a. ‘Kami ditunjukkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seorang rakyat Amerika. Jurulatih memberitahu kami yang beliau seorang pengkhianat kepada negara kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan orang Amerika’. Itulah antara isu-isu yang dibangkitkan sewaktu program pembinaan negara dijalankan oleh Biro Tatanegara (BTN), yang pernah diikuti seorang pelajar tahun empat jurusan ekonomi, Fakhrul Zaki Fazial. Fakhrul yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, fokus kursus tersebut adalah mengenai bangsa Melayu. “Mereka (jurulatih) juga mengkritik pembangkang dan menganggap kritikan mereka sebagai patriotik,” tambahnya.
b. Ketua pelajar Universiti Malaya, Mohd Ridzuan Mohammad, yang pernah menghadiri program BTN pada 2004 berkata, malah terdapat ceramah yang mendakwa bahawa kaum lain menjadi ancaman kepada orang Melayu. Menurutnya, BTN tidak seharusnya membangkitkan sentiman perkauman yang akan mencetuskan perpecahan kaum. Katanya, ini kerana program tersebut boleh mempengaruhi sesetengah pelajar yang hadir berhubung ideologi perkauman tersebut.

c. Chin Shin Liang, seorang bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah menghadiri program BTN pada Disember 2008, turut berkongsi pengalamannya. “Kami ditunjukkan klip video perhimpunan Bersih dan kemudian gambar negara Palestin yang dilanda perang dengan keterangannya: Apakah ini yang kita mahukan?… Kita juga ditunjukkan seorang pemprotes (tidak dikenalpasti) membaling batu,” katanya. Sambil menyifatkannya sebagai “amat berat sebelah”, Chin berkata: “Ia tidak menyatakan siapa pembaling batu itu, (dia) mungkin seorang Mat Rempit yang mahu berseronok atau polis yang melakukan provokasi terhadap pemprotes dengan menggunakan meriam air.”

Katanya, jurulatih juga mengajar bahawa kerajaan BN dipilih oleh rakyat dan oleh itu ia merupakan kerajaan yang sah, tetapi tidak berusaha untuk membezakan parti politik dan kerajaan. “Ini jelas mengelirukan kerana ia menjadi peraturan bahawa agensi-agensi kerajaan harus bersikap berkecuali dan berkhidmat sepenuhnya kepada negara (bukan hanya parti/gabungan tertentu),” katanya.

Ianya seolah-olah menyatakan bahawa kerajaan BN ‘mewakili’ negara ini dan harus ditaati tanpa dipersoalkan, katanya. Sementara itu, Fakhrul menyuarakan keraguannya mengenai pemilihan jurulatih BTN. “Saya fikir sesetengah jurulatih tidak layak kerana mereka begitu beremosi dan tidak intelektual dalam ceramah mereka. “Jika pelajar tidak bersetuju dengan pandangan jurulatih, mereka akan memarahinya di depan semua orang,” katanya. Sementara itu, sesetengah pihak merasakan bahawa kursus BTN telah dikecam secara tidak adil.

5. Tahun 2006 yang lalu Dewan Pemuda PAS Pusat telah menghantar memorundum kepada pihak kerajaan UMNO dan BN berkait dengan BTN .

BIRO TATANEGARA : AGEN PROVOKASI DAN PROPAGANDA ?


PENDAHULUAN ( PENDIRIAN DAN PRINSIP )

Secara prinsipnya Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) menyokong pada setiap usaha dan tindakan yang mendorong kepada :-

1. Pemupukkan rasa cinta, kasih dan sayang kepada agama, negara dan bangsa.
2. Pemupukkan dan penyemarakkan semangat patriotisme dikalangan rakyat negara ini.
3. Pembinaan masyarakat Melayu yang berdaya maju dan berdaya saing.

Ini adalah prinsip yang jelas dipegang teguh oleh DPPP. Malah kerana kejituan prinsip inilah juga DPPP kerap kali dengan beraninya bangkit secara vokal dan aksi dalam beberapa isu yang melanda negara ini, lebih-lebih lagi pada isu yang melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pimpinan kerajaan. Malah kerana keberanian itulah juga bukan sedikit daripada pimpinan dan ahli DPPP di’rehat’kan samada di penjara mahupun di ‘Resort Kemunting’.

Bagi DPPP ianya adalah cerminan kepada perasaan cinta, kasih dan sayang kepada agama, negara dan bangsa. Ianya juga adalah kemuncak kepada semangat patriotisme, memberi yang terbaik untuk mempertahankan maruah agama, negara dan bangsa. Ini adalah prinsipnya. Bertitik tolak daripada inilah DPPP secara tegasnya menyatakan bahawa kenyataan memorandum ini :

1. Tidak menyentuh atau berbangkit tentang penolakan DPPP kepada usaha bagi memupuk semangat patriotisme dikalangan rakyat.

2. Ianya juga tidak menyentuh atau berbangkit tentang penolakan DPPP kepada usaha bagi menyemarakkan rasa cinta, kasih dan sayang kepada agama, negara dan bangsa.

3. Kenyataan memorandum ini juga tidak menyentuh dan berbangkit tentang penolakan DPPP terhadap usaha untuk membangunkan masyarakat Melayu dinegara ini.

Malah secara simboliknya memorandum ini dengan sendirinya adalah cetusan daripada semangat patriotisme DPPP dan ianya juga luahan rasa cinta, kasih dan sayang DPPP kepada agama, negara dan bangsa.

ASAS KEPADA MEMORANDUM

Memorandum ini diasaskan atas laporan dan aduan ‘keterlanjuran terancang’ Biro Tatanegara ( BTN ) dalam penganjuran dan pengendalian kursus, latihan dan kem mereka. Keterlanjuran ini sesuatu yang menyentuh kepada :

1. Modul latihan yang dilihat dengan sengaja membangkitkan persoalan isu perkauman yang melampau dan tidak berasas. Kesannya timbul perasaan curiga dan ketidakpuashatian sesama kaum yang mampu menjadi “time bomb” kepada permasalahan yang lebih serius;ketegangan kaum.

ISU PERKAUMAN DALAM PROSES LATIHAN.

1. Petikan daripada salah satu modul sessi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang digunakan oleh Jurulatih (Fasilitator) Bertauliah BTN dalam satu Bengkel Kepimpinan &Pengurusan Persatuan Belia ( Peserta terdiri daripada pimpinan dan ahli persatuan belia sepenuhnya berbangsa Melayu ) :

Senario yang diberikan

a. Sepasang suami isteri – tinggal disebuah kampung – suatu petang bersiar-siar dipantai, jumpa orang tua – pinjam sampan – pergi ketengah laut – leka – sampan pecah dipukul ribut – Uda terdampar di pulau lain – Dara di pulau lain – sedih – Juragan Cina ( Ah Chong ) datang naik tongkang – simpati pada Dara – minta ganjaran iaitu menyerah kehormatan – cari Uda – jumpa – marah pada Dara – tolak Dara – kena batu – Ah Chong dan Uda bertengkar. Datang Muthu, bunuh kedua-duanya sekali.

Di dalam ulasan antara falsafah yang disampaikan oleh fasilitator ialah :

a. Terdapat watak manusia ( merujuk kepada watak Ah Chong ) yang pentingkan diri sendiri. Pertolongan yang diberi tidak ikhlas. Terdapat udang disebalik batu, lintah darat, mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain.

2. Di dalam satu sessi ceramah motivasi pada program Motivasi Kepimpinan ( melibatkan peserta pimpinan dan ahli persatuan belia ) penceramah yang merupakan Jurulatih ( Fasilitator ) Bertauliah BTN membangkitkan tentang bahawa satu hari nanti jika orang Melayu tidak bersatu ( pastinya merujuk kepada bersatu di dalam UMNO ) mereka akan diinjak oleh C_ _ _ .

3. Dalam satu program anjuran BTN diatas nama Kursus Kenegaraan yang diadakan disebuah kem BTN, khusus untuk pekerja sebuah agensi kerajaan ( kursus wajib dibawah Sistem Saraan Malaysia ) jurulatih atau fasilitator dalam satu sessi LDK mengaitkan orang-orang C_ _ _ sebagai komunis.

Jelas sekali di dalam contoh-contoh di atas satu gambaran buruk diberikan kepada suatu kaum. Gambaran buruk sebegini adalah sesuatu yang keterlaluan dan mampu mencetuskan permasalahan yang lebih serius dimasa hadapan.

JANGAN BERMAIN API !

Bagi DPPP ianya merupakan sesuatu yang amat dikesali, BTN sebagai sebuah agensi kerajaan yang diberikan peranan dan tanggungjawab yang begitu luas bagi menjalankan aktiviti dan program ke arah membentuk masyarakat yang berjiwa patriot, serta terpupuk rasa cinta, kasih dan sayang kepada agama, negara dan bangsa tetapi pada hakikatnya melihat perspektif patriotisme itu dari sudut yang amat sempit dan bias. Lebih menyedihkan BTN kini dilihat oleh sebahagian rakyat negara ini sebagai kelompok cauvinis Melayu yang diperkudakan oleh UMNO sebagai agen provokasi dan propaganda.

Tegas DPPP agar jangan bermain api ! Persoalan hubungan kaum adalah isu sensitif yang perlu ditangani secara matang dan berhati-hati. Persoalan hubungan kaum ini bersangkut secara terus kepada perpaduan dan keharmonian negara ini, maka adalah suatu tidakan yang tidak wajar sama sekali, di dalam apa cara sekali pun ianya dijadikan hujah retorik oleh mana-mana individu mahupun kumpulan, lebih-lebih lagi agensi di bawah kerajaan. Malah ianya menjadi satu polisi yang amat tegas diamalkan oleh kerajaan.

Persoalannya mengapa di dalam hal ini BTN dilihat begitu berani untuk menggunakan logik lucah dan dangkal ini dalam modul latihan mereka. Jelas sekali sudah sampai masanya BTN itu sendiri disemak dan dinilai semula kerelevanan fungsi dan peranannya. Untuk itu DPPP menggariskan perkara-perkara dibawah sebagai desakan yang perlu kepada tindakan segera :-

1. Penyemakan semula modul latihan BTN perlu dilakukan. Modul BTN perlu dibersihkan sepenuhnya daripada:

o Unsur-unsur yang menyentuh sensitiviti perkauman
o Unsur-unsur propaganda UMNO.
o Penekanan modul latihan perlu menekankan kepada melahirkan individu yang mampu untuk membuat penilaian sendiri, tegas dalam pendirian, teguh semagat patriotisme dan mantap peribadinya.

2. Fungsi dan peranan BTN perlu dihadkan. Penghadan fungsi dan peranan BTN bertujuan untuk memastikan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan fungsi dan peranan mereka. Di dalam situasi seperti yang ada ketika ini BTN dilihat begitu mudah diperalatkan sebagai alat politik dan agenda peribadi pihak tertentu.

3. Program wajib BTN untuk golongan mahasiswa perlu dimansuhkan kerana ianya tidak lagi relevan lagi dengan wujudnya Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN ). Ianya juga sesuai dengan status universiti sebagai sebuah autonomi yang membentuk generasi intelektual.

4. Kaedah pemilihan, latihan dan pentauliahan jurulatih-jurulatih ( fasilitator ) BTN perlu di dedahkan dan dilakukan secara telus. Kepincangan BTN kini dilihat banyak berpunca daripada sistem pentauliahan jurulatih ( fasilitator ). Jurulatih tauliahan BTN dilihat bebas menggunakan modul latihan tanpa pemantauan, ini secara tidak langsung dilihat mendedahkan BTN untuk dijadikan alat untuk kepentingan UMNO.

Kedudukan BTN dibawah Jabatan Perdana Menteri dengan fungsi yang begitu luas, menjadikan BTN sebuah agensi yang penting. Penglibatan BTN dalam proses penilaian penjawat awam ( Kursus Kenegaraan ), mahasiswa ( Kursus Bina Negara Mahasiswa ), remaja ( Kursus Bina Sahsiah Remaja ) dan banyak lagi menjadikan ia sebuah agensi yang mudah terdedah kepada salah laku amalan. Bagi mengekang semua ini samada yang telah, sedang atau pun akan berlaku suatu tindakan konkrit dan tegas perlu dilakukan.

DPPP mendesak sebelum keterlanjuran yang telah berlaku menjadi parah dan mengundang sesuatu yang buruk kepada rakyat dan negara maka proses penilaian semula terhadap fungsi dan peranan BTN perlu disegerakan. Sekiranya jelas kewujudan BTN ini lebih kepada menjadi perkakas politik dan agenda individu maka tindakan terbaik yang perlu dilakukan kerajaan ialah dengan sama sekali memansuhkannya.

Mazlan bin Aliman
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
2006